Monday, May 30, 2011

Komuniti Eurasia di Malaysia (Eurasian Community in Malaysia)


Eurasia merujuk kepada golongan yang berketurunan atau berdarah campuran Asia dan Eropah.

Golongan ini terbentuk sejurus bermulanya zaman Malaysia moden (penjajahan dari pihak Eropah) yang mana terbentuk fenomena perkahwinan dari keturunan berlainan telah memulakan generasi Eurasia. Gelaran ‘Eurasia’ ini mula digunakan semejak dari tahun 1920-an oleh pihak British yang memerintah (pada masa itu dikenali sebagai Malaya). Kebanyakannya merupakan generasi berdarah campuran di antara pegawai British dan penduduk di Malaya dan Borneo.

Sebelum itu sudah terdapat beberapa gelaran yang digunakan bagi golongan ini yang berasal dari pelbagai negara Eropah. Antaranya ialah golongan Anglo-Indians (mereka yang berketurunan Britain atau Ireland), Dutch Burghers (bagi yang berketurunan Belanda dan German), Portuguese Descendants (berketurunan Portugis) dan juga Mestizos (mereka yang berkelahiran darah campuran Perancis).

Golongan Anglo-Indians ini telah datang bersama dengan British East India Company. Bilangan mereka bertambah dengan kedatangan para pentadbir koloni British sebagai askar dan juga pegawai bawahan pentadbiran yang berkahwin dengan penduduk asal Malaya pada masa itu. Bagi golongan yang dipanggil sebagai Dutch Burghers pula, mereka merupakan berdarah campuran Eropah; khususnya mereka yang datang bersama-sama dengan Dutch East India Company sebagai pekerja dll. Selain daripada itu terdapat mereka yang berketurunan Portuguese Decendants and Mestizos yang merupakan golongan yang terbentuk hasil perkahwinan penduduk asal dengan koloni dan juga pengembara Portugis atau Perancis.

Menurut satu kajian pada tahun 2000, terdapat hampir 1500 orang Eurasia atau dikenali sebagai Serani di Pulau Pinang , majoritinya di Georgetown. Georgetown dipercayai mempunyai komuniti Eurasia yang terbesar di Malaysia , bancian yang dijalankan pada tahun 2000 menunjukkan hampir 13% golongan Eurasia di Malaysia menetap di Pulau Pinang, majoritinya di sekitar Georgetown. Di Pulau Tikus, Georgetown terdapat Kampung Serani.

Di dalam satu kajian lain pada tahun 2000, menunjukkan bahawa di Kota Kinabalu sahaja terdapat 8% golongan yang berdarah Eropah yang juga dikenali sebagai golongan Serani.

Walaupun jumlahnya agak minimal (tidak dapat dipastikan), di Melaka merupakan pertempatan golongan Eurasia berketurunan Portugis. Terdapat satu perkampungan di mana nilai-nilai dan budaya mereka masih diteruskan iaitu Medan Portugis atau lebih dikenali sebagai Mini Lisbon. Ia merupakan pusat kebudayaan Portugis di Melaka dan juga yang terkenal di Malaysia.

Kampung Medan Portugis ini adalah pusat komuniti Eurasia Melaka yang diperturunkan daripada perkahwinan yang berlaku di antara penjajah Portugis dan Melayu kira-kira 400 tahun yang lampau. Sekali-sekala terdapat juga persembahan tarian dan muzik Portugis. Terdapat satu papan buletin di medan ini yang menyenaraikan acara-acara kebudayaan yang akan diadakan. Akan tetapi, pada hari tanpa persembahan sekalipun, medan ini adalah suatu tempat yang menarik untuk dikunjungi bagi merasai hidangan dan minuman sambil menyaksikan matahari terbenam di ufuk Selat Melaka.

No comments: